Monday, January 16, 2012

Trimester Ketiga : 28 Minggu - 31 Minggu

Perkembangan Fetus Hamil 28 Minggu


Anda sekarang berada di penggal terakhir. Trimester ketiga lazimnya bermula pada 29 minggu kehamilan dan berakhir pada 40 minggu kehamilan, kadang kala lebih lanjut dari itu. (Jangan bimbang - maksimumnya ialah 42 minggu! Lebih dari itu, wanita lazimnya dicetuskan untuk melahirkan.) Kebanyakan wanita menambah berat badan sebanyak 11 paun / 5 kilogram semasa semester ini.

Menjelang minggu ini, berat bayi anda ialah sebanyak 2.3 paun / lebih sedikit dari 1 kilogram dan mungkin berukuran 14.8 inci / 38 sentimeter panjang dari atas ke jari kaki. Sekitar masa ini, bayi anda yang di dalam rahim itu sudah boleh membuka matanya dan memalingkan kepalanya jika dia ternampak cahaya terang yang memancar terus menerus dari luar. Lapisan lemaknya sedang terbentuk dan kuku jari mula timbul.

Anda mungkin mengalami perasaan berbolak-balik apabila mengenangkan sakit bersalin dan melahirkan. Menyediakan senarai perkara-perkara yang perlu dibuat dan meraitkannya satu-persatu akan membantu. Mulalah memilih nama-nama bayi yang sesuai dan mulalah memikirkan tentang kehidupan selepas kelahiran juga. Anda juga mungkin berjumpa dengan doktor anda dengan lebih kerap lagi di minggu-minggu terakhir ini. 

Perkembangan Fetus Hamil 29 Minggu
Berat bayi anda lebih kurang 2.5 paun / 1.1 kilogram dan ukuran panjangnya 15 inci / 38 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Bagi lelaki, testikel menurun dari tempat berdekatan buah pinggang lalu merentasi groin dan terus ke skrotum. Bagi perempuan, kelentit masih menonjol sebab belum lagi ditutup oleh bibir vulva yang masih halus. Ianya akan membesar dan menutupi kelentit dalam minggu-minggu terakhir sebelum kelahiran.

Kepala bayi anda semakin besar, dan pertumbuhan otaknya adalah amat pantas pada masa ini. Hampir kesemua bayi menunjukkan reaksi kepada bunyi menjelang 30 minggu.

Keperluan pemakanan bayi anda akan berkemuncak semasa trimester ketiga. Anda akan memerlukan sejumlah besar protin, vitamin C, folik asid, zat besi dan kalsium (lebih kurang 200 miligram diserapkan ke dalam kerangka tulang bayi setiap hari). Jadi, makanlah makanan yang kaya dengan nutrien-nutrien ini. Kerangka terus mengeras dan otak, otot-otot dan paru-paru menjadi semakin matang. Dengan itu, lihatlah panduan makanan sempurna kami bagi memastikan anda mendapatkan mineral dan vitamin yang mencukupi.  

Perkembangan Fetus Hamil 30 Minggu
Paru-paru bayi anda dan saluran penghadaman hampir matang sepenuhnya. Walaupun bayi anda mungkin lebih perlahan dalam menambahkan ukuran panjangnya dari sekarang (dia berukuran 15.7 inci / 40 sentimeter dari mercu kepala ke jari kaki sekarang), dia akan terus menambahkan beratnya sampai masa dia dilahirkan.

Pada minggu ini, bayi anda terus menerus membuka dan menutup matanya. Dia sudah boleh melihat apa yang sedang berlaku dalam rahim, membezakan cerah dari gelap dan boleh juga mencari punca cahaya.

Jika anda memancarkan lampu suluh ke atas perut anda, bayi akan menoleh kepala untuk mengikuti cahaya itu atau menghulurkan tangan untuk menyentuh cahaya yang bergerak itu. Beberapa penyelidik berpendapat bahawa mendedahkan perut anda kepada cahaya merangsang perkembangan visual. Namun, jangan pula mengharapkan penglihatan 20/20 di masa bayi dilahirkan - bayi baru lahir hanya boleh melihat setakat jarak lebih kurang 8 hingga 12 inci / 20 hingga 30 sentimeter. (Kanak-kanak yang mempunyai penglihatan normal tidak mencapai penglihatan 20/20 sehingga umur antara tujuh hingga sembilan tahun.) Untuk melengkapkan gambaran perkembangan ini, bayi anda sudah mempunyai bulu kening dan bulu mata.

Lebih kurang satu setengah pain / sekitar satu liter cecair amnion sekarang mengelilingi bayi anda tetapi volum ini akan menyusut apabila bayi membesar dan ruang dalam rahim bertambah sempit baginya. Apabila anda dan bayi anda menjadi semakin besar, janganlah merasa takut pula jika anda merasakan sesak nafas, atau merasakan seakan-akan anda tidak mendapat udara yang mencukupi; ia hanya uterus anda menekan diafragma anda. Bagaimanapun, di akhir terowong gelap yang dilalui ini, ada cahaya. Di 34 minggu kehamilan (atau sejenak sebelum pelahiran, jika kehamilan ini yang kedua atau ketiga bagi anda), kepala bayi anda akan bergerak turun memasukki pelvis anda dan terus mengambil posisi yang sesuai untuk kelahiran. Ini akan melegakan pernafasan dan pemakanan anda. 

Perkembangan Fetus Hamil 31 Minggu
Lengan bayi anda, kaki dan badan terus membesar - dan akhirnya sama padan dengan saiz kepala bayi anda. Beratnya lebih kurang 3.3. paun / 1.5 kilogram dan dia sudah kelihatan seperti bayi baru lahir. Ukuran panjangnya lebih kurang 16 inci / 41 sentimeter dari mercu kepala ke jari kaki.
Anda mungkin sedar yang bayi anda tidak lagi bergerak sebegitu giat seperti dahulu. Jangan bimbang; dia tidak lagi mempunyai begitu banyak ruang dalam uterus anda. Selagi anda terasa dia menggeliang-geliut, anda tahu dia sihat sejahtera. Jangan tak percaya pula, dia masih perlu membesar lebih banyak lagi. Dia dijangka boleh naik berat badan dua paun / 900 gram lagi sebelum kelahiran.

Organ bayi anda terus mematang dan dia membuang air kecil dari pundi kencingnya: Ini persediaan yang baik untuk melatih dia kencing selepas kelahiran. Tak lama lagi anda boleh meramal apakah yang diidam-idamkan oleh bayi anda - skan otak menunjukkan yang fetus mempunyai waktu-waktu tidur bermimpi pada bulan kelapan.

Anda mungkin telah meningkat berat badan sebanyak tiga hingga empat paun / 1.3 hingga 1.8 kilogram pada bulan ini. Adalah normal bagi berat badan naik satu paun / 460 gram seminggu semasa trimester terakhir sebab bayi anda mengalami satu lonjakan pertumbuhan terakhir sebelum dia dilahirkan. 

No comments: