Thursday, December 15, 2011

Perkembangan fetus - hamil 22 minggu - 24 Minggu

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia
Berat bayi sekarang hampir satu paun / 430 gram, dan dia berukuran hampir 11 inci / lebih sedikit dari 27 sentimeter dari mercu kepala ke tumit, dan sudah terbentuk seperti bayi baru lahir, tetapi kurus, sebab lemak bayinya belum datang lagi. Walaupun beratnya semakin meningkat setiap hari, kulitnya masih kelihatan berkedut-kedut dan dia masih perlu menambahkan berat badannya. Bibir sudah jelas kelihatan dan mata telah terbentuk, walaupun iris (bahagian mata yang berwarna) masih kurang gelap. Pankreas, yang sangat perlu bagi pengeluaran hormon, sedang berkembang dengan baik. 

Pada peringkat yang seawal inipun, tanda-tanda pertama gigi telah tumbuh dalam bentuk kudup-kudup di belakang garisan gusi. Tak lama nanti, bayi anda akan lahir, dan tak lama selepas itu, gigi pertama akan muncul.

Anda mungkin telah bertambah berat badan antara 12 hingga 15 paun / 5.4 dan 6.8 kilogram. Bermula dari sekarang, anda akan menambahkan berat badan secara konsisten, dengan purata lebih kurang setengah paun / 225 gram setiap minggu. Anda mungkin mengidamkan makanan tertentu dan anda mungkin menyedari yang lelehan vagina anda berlebihan (tapi tidak berdarah). Kedua ini adalah perkara normal dalam kehamilan.  

Perkembangan fetus - hamil 23 minggu

 

Berat bayi anda sekarang lebih sedikit dari satu paun / 500 gram dan dia berukuran lebih kurang 11.4 inci / 29 sentimeter dari mercu kepala ke tumit. Pendengarannya telah mantap sepenuhnya dan dia boleh mengecam satu versi suara anda yang pincang, selain bunyi denyutan jantung anda dan bunyi deram-derum perut anda. Bunyi-bunyi kuat yang boleh didengarinya dari dalam rahim, seperti bunyi anjing sebelah rumah menyalak atau bunyi tempikan pembersih vakum, mungkin tidak akan mengganggu anak anda apabila dia mendengarnya semasa dia di luar rahim. Kajian tertentu seakan-akan menyatakan yang bayi belum lahir lebih gemarkan muzik klasik. 

Selain kemajuan-kemajuan dalam pendengaran, paru-parunya sedang melalui perubahan-perubahan untuk menyediakannya untuk bernafas. Dia sentiasa menelan tetapi dia tidak akan membuang air besar (digelarkan mekonium) sehingga selepas dilahirkan. 

Jika bayi anda dilahirkan sekarang, dia mempunyai kemungkinan kecil (lebih kurang 16 peratus) untuk meneruskan hidup dengan penjagaan yang sesuai. Setiap hari dia berada dalam rahim memberinya peluang yang lebih baik untuk meneruskan hidup. Jika dia dilahirkan pada 24 minggu kehamilan, peluangnya untuk terus hidup akan meningkat kepada 44 peratus.

Anda pula akan merasa pergerakan anda canggung sebab pusat graviti anda telah berganjak. Gusi anda mungkin berdarah apabila anda menggosok gigi dan pusat anda yang dahulunya "tenggelam", sekarang sudah membonjol. Jangan bimbang. Ia akan kembali kepada keadaan asal sebaik sahaja anda melahirkan.

Bulan-bulan pertengahan adalah masa yang baik untuk memikirkan tentang pelancongan. Dapatkan segala maklumat yang diperlukan yang merangkumi kulit perang hingga ke pemvaksinan dalam bahagian pelancongan kami.  

Perkembangan fetus - hamil 24 minggu

 

Berat bayi anda lebih dari 1.3 paun / 600 gram. Walaupun dia mempunyai hanya sedikit lemak badan dan kulitnya nipis dan mudah pecah, dia sekarang sudah mempunyai bentuk badan yang sempurna. Otaknya tumbuh dengan pantas, dan dia semakin memenuhi ruang dalam rahim anda. Dari mercu kepala ke tumit dia berukuran 11.8 inci / 30 sentimeter. Sekiranya pelahiran anda nampak seakan-akan hendak bermula, sudah pasti pakar obstetrik dan doktor akan melakukan segala-galanya untuk menghentikan perjalanan kelahiran pramatang supaya bayi anda boleh terus-menerus matang. 

Anda mungkin kelihatan jalur-jalur merah atau coklat yang malap yang merupakan tanda perut meregang, bergelar stria kehamilan yang terdapat di abdomen, punggung dan payudara anda. Krim tidak boleh menghilangkannya, tetapi, memakai bra yang menyokong boleh menghindarkan atau mengurangkan jalur-jalur ini di payudara anda. Jalur-jalur ini memang terjadi di tahap kehamilan ini - lebih kurang 90 peratus wanita mendapatnya. Sesudah anda melahirkan, pigmen kemerahan atau kecoklatan pada jalur-jalur itu akan mula hilang, dan menjadi lebih pudar dari di kulit kelilingnya.

Juga, mata anda akan menjadi sensitif kepada cahaya dan akan terasa kering dan seakan-akan berpasir. Ini merupakan simptom kehamilan yang biasa bergelar "mata kering". Untuk meredakan ketidakselesaan anda, gunakanlah larutan "airmata tiruan" untuk menambahkan kelembapan. 

 

No comments: