Monday, December 19, 2011

Perkembangan fetus - hamil 25 minggu - 27 Minggu

Perkembangan Fetus Hamil 25 Minggu



Berat bayi anda sekarang hampir 1.5 paun / 660 gram dan panjangnya dari mercu kepala ke tumit lebih kurang 13.5 inci / 35 sentimeter. Dia membuat pergerakan bernafas tetapi tidak terdapat udara dalam paru-parunya setakat ini. Pada 26 minggu, skan otak fetus menunjukkan bayi memberi respon terhadap sentuhan. Jika anda menyuluh lampu ke arah abdomen anda, bayi anda akan memalingkan kepalanya, dan mengikut penyelidik, ini bermakna saraf optiknya sudah berfungsi.

Semasa setiap lawatan antenatal, doktor anda akan mengambil tekanan darah anda dan melakukan ujian-ujian tertentu ke atas sampel air kencing anda. Dengan ini, keadaan-keadaan yang berkaitan dengan kehamilan seperti pra-eklampsia dan kencing manis dapat dikesan dan dirawat.

Jari tangan anda, pergelangan tangan dan lengan mungkin terasa sakit-sakit dan kebas. Terowong karpus pada pergelangan tangan telah menjadi bengkak, sama seperti lain-lain tisu dalam badan anda. Saraf-saraf yang merentasi terowong itu sudah tersepit, menyebabkan tekanan yang dimanifestasikan sebagai sakit menyucuk atau membakar. Memakai pendakap boleh melegakan, begitu juga mengambil vitamin B6. Berbincanglah dengan doktor anda tentang lain-lain cara untuk menahan sakit. 


Perkembangan Fetus Hamil 26 Minggu
Ukuran bayi anda, apabila mengukurnya dari kepala ke jari kaki sambil meluruskan kakinya, ialah 14 inci / 35.6 sentimeter. Beratnya lebih sedikit dari 1.6 paun / 760 gram. Mata bayi anda mula membuka di sekitar masa ini. Responnya terhadap bunyi-bunyian semakin konsisten menjelang penghujung bulan ketujuh, apabila jaringan saraf-saraf ke telinga sudah siap terbentuk. Di terus menyedut nafas kecil-kecilan dan walaupun dia hanya menyedut air dan bukan udara, ini masih merupakan latihan yang baik untuk dia selepas dilahirkan kelak.

Oleh sebab bayi anda membesar dengan pantas, dan perkembangan otak begitu giat pada masa ini, pemakanan anda adalah amat penting. Teruslah memakan diet seimbang yang merangkumi banyak bijirin dan sayur. Makanan yang kaya dengan sarat, termasuk roti bijian sempurna dan bijirin, kekacang dan beras ceruh mengandung banyak vitamin B dan membantu mencegah sembelit.

Kelas antenatal anda harus sudah bermula dalam satu-dua minggu berikutan ini, atau mungkin sudah bermula. Kelas-kelas ini sepatutnya menyediakan anda dengan informasi yang baik dan jelas tentang kelahiran dan hari-hari awal keibubapaan. Melengkapkan diri dengan maklumat akan membantu menenangkan apa jua keraguan anda tentang melahirkan bayi.  


Perkembangan Fetus Hamil 27 Minggu


Bayi anda sekarang berat 2 paun / 875 gram dan berukuran 14.5 inci / 36.6 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Matanya membuka dan menutup, dan dia tidur dan berjaga mengikut jarak masa yang teratur dan mungkin menghisap jari dan ibu jari.

Mimpi-mimpi manis, si kecil tersayang! Sebilangan pakar percaya yang bayi mula bermimpi menjelang minggu ke-28. Apakah yang mereka mimpikan? Tiada siapa yang tahu dengan pasti tetapi otak mula aktif pada minggu ini juga. Jejalur unik atas permukaan otak mula timbul dan tisu otak bertambah dengan lebih banyak.

Apa yang menyebabkan pergerakan beritma yang anda rasakan sebenarnya ialah sedu-sedan bayi anda, dan ia kerap berlaku pada minggu ini dan sepanjang kehamilan. Bayi anda mengalaminya tetapi menyedut cecair amnion, bukan udara. Sudah tentu beg kertas tidak akan menghilangkan sedunya, namun, sesuatu episod tersedu itu hanya berlanjutan untuk sekejap masa sahaja. Sensasi itu agak aneh bagi anda, tetapi bukanlah merupakan sesuatu yang tidak menyenangkan.

Oleh sebab uterus anda sekarang sudah naik dan berdekatan dengan sangkar rusuk anda, anda mungkin merasakan susah bernafas atau anda sudah merasakan kesesakan ini lebih awal lagi. Bermula sekarang dan sepanjang tiga bulan terakhir kehamilan, anda mungkin dilanda kejang betis, hemoroid, vena varikos dan gatal-gatal abdomen. Adakah ketidakselesaan kehamilan membuatkan anda kurang gembira? Cubalah beberapa cara pemulihan natural untuk menceriakan anda.

Sekiranya anda didapati Rh-negatif di awal kehamilan, anda mungkin diuji untuk antibodi Rh pada minggu ini atau minggu hadapan dan menerima suntikan anti-D untuk melawan ketakserasian yang ada. Anda mungkin ditawarkan suntikan ulangan pada 36 minggu kehamilan. 

No comments: